Ahlan Wasahlan ! Selamat Datang ke Blog SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG. Terima Kasih atas kunjungan anda. Kunjungan anda amat bermakna buat kami :)

MESYUARAT PIBG KALI KE-16 YANG BERSEJARAH

 Mesyuarat Agung PIBG ke-16 telah dilaksanakan dengan jayanya. Mesyuarat kali ini dirasmikan  oleh Encik Zairi bin Mat Lamin, Pegawai Operasi Kawasan (Selangor dan Negeri Sembilan), Bank Muamalat Malaysia Berhad. Beliau diiringi oleh pegawai-pegawai Bank Muamalat Berhad cawangan Rawang, Selangor.

        Kami mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Bank Muamalat Berhad kerana persetujuan pihak bank mengambil Sekolah Agama Menengah Rawang sebagai sekolah anak angkat mulai tahun ini.

     Pihak sekolah juga berbesar hati atas kesudian pihak Bank Muamalat Berhad untuk memberikan sumbangan bagi pembelian van sekolah sebanyak RM 10 000.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh Ribu Sahaja). Alhamdulllillah, sumbangan ini akan memudahkan urusan membeli sebuah van untuk kegunaan aktiviti sekolah seperti penghantaran pelajar ke klinik, penghantaran pelajar ke aktiviti ko-kurikulum, dan beberapa perkhidmatan lain yang berkaitan dengan urusan sekolah.
     Kami juga amat sukacita kerana persetujuan pihak bank menyokong dan membantu pihak Sekolah Agama Menengah Rawang membangunkan  modal insan cemerlang dalam akademik dan sahsiah pelajar serta program-program yang akan atau bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa.

     Semoga dengan adanya persetujuan ini antara pihak Bank Muamalat dan Sekolah Agama Menengah Rawang akan memudahkan sekolah mencapai visi sekolah (Sekolah Agama Menengah Rawang, SABK Unggul Penjana Generasi Cemerlang) dan Misi sekolah (Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti). Dan, semoga usaha murni semua pihak iaitu pihak Sekolah Agama Menengah Rawang, pihak Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan pihak Bank Muamalat Berhad ini akan dapat melahirkan individu pelajar yang Berilmu, Beramal dan Bertaqwa dari bumi Sekolah Agama Menengah Rawang yang tercinta ini.

      Mesyuarat PIBG ke-16, Sekolah Agama Menengah Rawang membariskan Ahli Jawatankuasa baru yang akan berkerjasama dan pasukan untuk menjana usaha dan tenaga memastikan pembangunan dan kecemerlangan SAMER yang lebih terancang.

     Pihak kami mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan  ahli jawatankuasa yang terdahulu dalam usaha-usaha yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Semoga usaha-usaha itu mendapat ganjaran yang sebaiknya, insyaallah.

      Perjalanan mesyuarat lancar dengan pembubaran ahli jawatankuasa pembentangan minit mesyuarat, perbincangan hal-hal berbangkit, dan pembentangan kewangan. Diikuti dengan pembubaran ahli jawatankuasa PIBG sesi 2011 secara rasmi.
      Seterusnya dilaksanakan agenda perlantikan ahli jawatankuasa baru untuk sesi 2012. Keputusan mesyuarat bersetuju dengan perlantikan Tuan Haji Mohd Subki bin Abdul Hamid sebagai yang Yang Dipertua PIBG, diikuti  perlantikan Tn. Hj.Zamri bin Muhammad sebaik Naib Yang Dipertua PIBG. 
Setiausaha baru menggantikan Encik Zahari bin Samad, yang telah berpindah ke Perak disandang oleh Encik Abdul Jalil bin Hanafee. Bendahari lama dikekalkan iaitu Pn. Maziana Elyunie bt. Kori.

    Suatu hal yang menarik dalam mesyuarat kali ini ialah perlantikan ahli jawatankuasa PIBG tahun 2012 adalah atas dasar menawarkan diri. Proses perlantikan menjadi singkat dan mudah dengan sikap keterbukaan ahli jawatankuasa yang menawarkan diri daripada kalangan ibu bapa itu. Ahli-ahli jawatankuasa yang menawarkan diri tersebut adalah seperti berikut :
1.  Pn. Hjh. Zaidah Ramlah bt. Hj.Ahmad
2.  Pn. Hjh. Sofiyati bt. Hj. Sya'ban
3.  En. Muhammad Radi bin Abdul Rahman
4.  En. Mohd Hatta bin Ahmad Nawawi
5.  En. Mohd Zulkifli bin Abdul Rahman
6.  En. Mohd Nurulyakin bin Abdul Wahab

Nama-nama ahli jawatankuasa dalam kalangan guru seperti berikut:
1. En. Ilias bin Dollah
2. Pn. Nor Azizah bt. Mohd Yusop
3. Pn. Sharifah Zhafarina bt. Syed Zainal Karib
4. Hjh. Normawati bt. Daud
5. Pn. Nurashikin bt. Ishak 

Antara usul yang dipersetujui adalah:
  1. Pembelian sebuah van sekolah untuk kegunaan dan urusan pihak sekolah seperti penghantaran pelajar ke klinik, pengangkutan untuk pelajar menghadiri aktiviti kokurikulum dan semua urusan pengangkutan sekolah seperti lawatan sambil belajar, pengangkutan guru berkursus dan seumpamanya.  Mesyuarat memutuskan cara pembelian van tersebut adalah secara sumbangan. Satu akaun sumbangan akan diwujudkan untuk membolehkan sumbangan daripada pihak-pihak korporat, pihak ibu bapa, pihak guru dan orang perseorangan akan ditubuhkan untuk mengelakkan kekeliruan pengurusan kewangan PIBG dan kemudahan pihak sekolah.
  2. Mesyuarat juga bersetuju dengan kutipan RM100.00 bagi setiap anak yang berada di tingkatan 3, 4 dan 5; bagi tujuan program kecemerlangan akademik sekolah seperti seminar-seminar peperiksaan, kem-kem motivasi, kelas-kelas tambahan dan interversi dan juga aktiviti yang menjurus kepada peningkatan pencapaian pelajar.
  3. Satu akaun khas iaitu Akaun Jariah PIBG SAMER  yang berbeza dengan akaun sekarang dalam cadangan terdahulu akan dibuka untuk membolehkan sumbangan pihak-pihak lain dimasukkan dan dimanafaatkan sebaiknya. 
        Semoga dengan kerjasama semua pihak, Sekolah Agama Menengah Rawang ini akan mencapai pengikhtirafan Sekolah Berprestasi Tinggi dan terus gemilang dan terbilang, insyaallah....