Ahlan Wasahlan ! Selamat Datang ke Blog SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG. Terima Kasih atas kunjungan anda. Kunjungan anda amat bermakna buat kami :)
   Hari Anugerah Cemerlang kembali lagi. Pada tahun 2012 ini, SAM Rawang sekali lagi telah menukar nama bagi program tahunan ini iaitu Anugerah Pencapaian Akademik Cemerlang (APAC). Program ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar serta guru-guru yang telah memberikan usaha dan komitmen yang terbaik pada tahun 2011.
   Bermula seawal jam 8.00 pagi, ibu bapa serta penerima hadiah diminta mendaftar di kaunter pendaftaran yang terletak di tepi Dewan Besar Umar Abdul Aziz. Tepat jam 9.30 pagi, ketibaan perasmi iaitu Encik Jaafar bin Rajuli ; Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam dan tetamu jemputan disambut meriah dengan paluan kompang oleh kumpulan pelajar lelaki SAM Rawang.
   Majlis dimulakan dengan bacaan al-quran oleh adik Ashek dari tingkatan 3 diikuti bacaan doa oleh Ustaz Abd Jalil bin Hanafee bagi memberkati majlis. Selesai bacaan doa, pengetua SAM Rawang ; Pn. Siti Romziah binti Madong diminta berucap. Tidak ketinggalan, ucapan dari pengetua PIBG SAM Rawang ; En. Mohd. Subki bin Abdul Hamid serta ucapan dari perasmi bagi merasmikan program ini.
   Bagi merehatkan minda, peserta Musamarah wakil sekolah diminta membuat persembahan. Musamarah merupakan persembahan kumpulan seperti 'choral speaking' tetapi menggunakan bahasa arab. Nyata persembahan mereka menggembirakan ibu bapa , guru dan pelajar kerana mereka mendapat tepukan gemuruh apabila selesai persembahan.
   Tanpa melengahkan masa, majlis diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu iaitu penyampaian hadiah. Hadiah diberikan kepada pelajar terbaik tingkatan 2011, pelajar cemerlang PMR 2011, pelajar cemerlang SMA 2011 serta tidak lupa kepada pelajar cemerlang SPM 2011. Pihak SAM Rawang juga menyediakan hadiah kepada guru-guru cemerlang bagi setiap mata pelajaran pada tahun 2011.
   Pada tahun ini, dua orang pelajar mithali telah dipilih kerana mereka telah menyumbang banyak perkara untuk SAM Rawang baik akademik mahupun kokurikulum pada tahun 2011. Mereka ialah Muhammad Amir Syauqi bin Mad Sukri dan Nur Izzati binti Abdul Halim.
   Selesai program, semua pelajar dan ibubapa dibenarkan pulang.