Ahlan Wasahlan ! Selamat Datang ke Blog SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG. Terima Kasih atas kunjungan anda. Kunjungan anda amat bermakna buat kami :)

Kejohanan Sukan 2012

   Kejohanan Sukan merupakan salah satu acara tahunan yang amat penting bagi semua sekolah. Ia bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar bergiat aktif serta mengasah dan menggilap bakat-bakat pelajar dalam bidang sukan. Pada tahun ini, Kejohanan Sukan SAM Rawang telah diadakan pada 27 Jun 2012. Ia diadakan untuk memberi penghargaan secara rasmi kepada pelajar-pelajar yang telah berusaha gigih menjuarai setiap acara yang dipertandingkan sepanjang seminggu sebelum itu.
   Seawal 7.40 pagi, semua pelajar diminta berkumpul di Dataran Salman Al-Farisi untuk mendengar sedikit taklimat tentang tentatif program pada hari tersebut. Selesai taklimat, semua pelajar bergerak ke padang mengikut firqah masing-masing samada Firqah Ali, Firqah Abu Bakar, Firqah Usman ataupun Firqah Umar. Setiap firqah diberikan dua khemah berasingan ; lelaki dan perempuan. Khemah tersebut perlu dihias dengan baik dan cantik kerana khemah yang terbaik akan diberi markah.
   Kira-kira jam 9 pagi, acara perarakan bagi setiap firqah dimulakan. Setiap firqah perlu menghantar wakil seramai 40 orang (lelaki dan perempuan) bagi acara ini. Setiap firqah bebas memilih tema serta maskot mewakili firqah mengikut kreativiti masing-masing. Pada tahun ini, Firqah Abu Bakar memilih tema Puteri Yang Ditahan, Firqah Ali memilih tema ala-ala jepun, Firqah Umar memilih tema Pengantin manakala Firqah Usman memilih tema Ahli Magis.
   Selesai perarakan, acara padang peringkat akhir bagi pelajar lelaki bermula. Masing-masing berusaha memberikan kemenangan kepada firqah mereka. Bagi yang tidak menjadi peserta, mereka turut sama-sama memberi sokongan padu kepada rakan-rakan. Acara akhir yang dipertandingkan ialah acara antara guru dan pelajar.
   Tiba sesi penyampaian hadiah, semua pelajar diminta duduk di dalam khemah mengikut firqah masing-masing. Satu demi satu hadiah yang disampaikan diselangi dengan sorak kejayaan daripada setiap firqah. Pada tahun ini, anugerah Olahragawan sekolah disandang oleh Amar Mahfuz daripada Firqah Usman manakala anugerah Olahragawati sekolah disandang oleh Ummu Aiman daripada Firqah Ali. Dua pelajar ini masing-masing menunjukkan penglibatan serta pencapaian yang banyak dalam sukan pada tahun ini.
   Akhir sekali, diumumkan bahawa Firqah Ali menjuarai secara keseluruhan berdasarkan markah tertinggi yang diperoleh. Semua ahli firqah tersebut bersorak gembira dengan kejayaan mereka pada tahun ini. Selepas itu, pelajar dibenarkan bersurai.