Ahlan Wasahlan ! Selamat Datang ke Blog SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG. Terima Kasih atas kunjungan anda. Kunjungan anda amat bermakna buat kami :)

Hari Kokurikulum 2012

   Pada 28 September 2012 yang lalu, SAM Rawang telah mengadakan Hari Kokurikulum bagi tahun 2012. Seperti tahun-tahun sebelum ini, pelbagai aktiviti telah dirangka bagi memeriahkan lagi hari tersebut. Antara aktiviti yang telah berlangsung ialah Pertandingan Kawad Kaki antara unit beruniform dan persembahan silat.
   Alhamdulillah, Hari Kokurikulum pada tahun ini berjalan dengan lancar dan dirasmikan oleh YDP PIBG SAM Rawang iaitu Encik Subki bin Hamid. Berikut merupakan antara paparan aktiviti yang berlangsung sepanjang hari bersejarah tersebut.
















Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Sekolah


Tarikh : 15 Ogos 2012
Hari : Jumaat
Masa : 8.45 pagi hingga 1.45 petang
Tempat : Dewan Besar Umar Abdul Aziz ( Lelaki ) , Surau Darul Muttaqin ( Perempuan )
Acara : Majlis Tadarus Al-Quran peringkat sekolah , sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim , salam berjemaah

Ceramah Ihya' Ramadan

   Tirai Ramadan kian berlabuh. Berbaki beberapa hari saja lagi kita berpuasa sebelum kita mula meraikan hari kemenangan di bulan Syawal. Bagi menghidupkan lagi Ramadan yang sudah sampai ke penghujung ini, pihak Sekolah Agama Menengah Rawang telah menjemput seorang penceramah yang sangat istimewa. Beliau bernama Ustaz Amran Yusoff.
   'Mencari Redha Allah di Akhir Ramadan dan Awal Syawal'. Itulah tajuk utama ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Amran. Ustaz Amran merupakan seorang yang pandai menarik perhatian pendengar ceramahnya. Menariknya, tiada seorang pelajar pun yang berkesempatan untuk tidur disebabkan oleh lawak-lawak serta nyanyian-nyanyian merdu yang disampaikan oleh ustaz tersebut.
   Di akhir sesi ceramah, Ustaz Amran menawarkan 10 hadiah berupa buku karya beliau untuk diberikan kepada sesiapa yang mampu menjawab soalan-soalan yang dikemukakan berdasarkan apa yang beliau sampaikan sebelum itu. Nyata, tawaran tersebut menyebabkan semua pelajar baik lelaki mahupun perempuan teruja untuk menjawab soalan yang diberikan. Semua guru dan pelajar nyata gembira mendengar segala apa yang disampaikan oleh Ustaz Amran.

Majlis Iftar dan Terawikh Perdana SAM Rawang 2012

Tarikh : 10 Julai 2012
Hari : Jumaat
Masa : 6.30 petang hingga 10.00 malam
Tempat : Kantin dan Surau Darul Muttaqin
Acara : Majlis Iftar , Solat Hajat dan Solat Terawikh berjemaah

Semua ibubapa pelajar dan warga SAM Rawang dijemput hadir ke majlis tersebut. Sumbangan berbuka puasa amat dialu-alukan berdasarkan agihan yang telah dibuat bagi setiap kelas.

Kejohanan Sukan 2012

   Kejohanan Sukan merupakan salah satu acara tahunan yang amat penting bagi semua sekolah. Ia bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar bergiat aktif serta mengasah dan menggilap bakat-bakat pelajar dalam bidang sukan. Pada tahun ini, Kejohanan Sukan SAM Rawang telah diadakan pada 27 Jun 2012. Ia diadakan untuk memberi penghargaan secara rasmi kepada pelajar-pelajar yang telah berusaha gigih menjuarai setiap acara yang dipertandingkan sepanjang seminggu sebelum itu.
   Seawal 7.40 pagi, semua pelajar diminta berkumpul di Dataran Salman Al-Farisi untuk mendengar sedikit taklimat tentang tentatif program pada hari tersebut. Selesai taklimat, semua pelajar bergerak ke padang mengikut firqah masing-masing samada Firqah Ali, Firqah Abu Bakar, Firqah Usman ataupun Firqah Umar. Setiap firqah diberikan dua khemah berasingan ; lelaki dan perempuan. Khemah tersebut perlu dihias dengan baik dan cantik kerana khemah yang terbaik akan diberi markah.
   Kira-kira jam 9 pagi, acara perarakan bagi setiap firqah dimulakan. Setiap firqah perlu menghantar wakil seramai 40 orang (lelaki dan perempuan) bagi acara ini. Setiap firqah bebas memilih tema serta maskot mewakili firqah mengikut kreativiti masing-masing. Pada tahun ini, Firqah Abu Bakar memilih tema Puteri Yang Ditahan, Firqah Ali memilih tema ala-ala jepun, Firqah Umar memilih tema Pengantin manakala Firqah Usman memilih tema Ahli Magis.
   Selesai perarakan, acara padang peringkat akhir bagi pelajar lelaki bermula. Masing-masing berusaha memberikan kemenangan kepada firqah mereka. Bagi yang tidak menjadi peserta, mereka turut sama-sama memberi sokongan padu kepada rakan-rakan. Acara akhir yang dipertandingkan ialah acara antara guru dan pelajar.
   Tiba sesi penyampaian hadiah, semua pelajar diminta duduk di dalam khemah mengikut firqah masing-masing. Satu demi satu hadiah yang disampaikan diselangi dengan sorak kejayaan daripada setiap firqah. Pada tahun ini, anugerah Olahragawan sekolah disandang oleh Amar Mahfuz daripada Firqah Usman manakala anugerah Olahragawati sekolah disandang oleh Ummu Aiman daripada Firqah Ali. Dua pelajar ini masing-masing menunjukkan penglibatan serta pencapaian yang banyak dalam sukan pada tahun ini.
   Akhir sekali, diumumkan bahawa Firqah Ali menjuarai secara keseluruhan berdasarkan markah tertinggi yang diperoleh. Semua ahli firqah tersebut bersorak gembira dengan kejayaan mereka pada tahun ini. Selepas itu, pelajar dibenarkan bersurai.

Hari Guru 2012 - Fasa ke-2

   Hari Guru fasa ke-2 merupakan acara yang julung kalinya diadakan di SAM Rawang. Sambutan tersebut diadakan atas permintaan pelajar-pelajar supaya guru-guru dapat diraikan dengan lebih meriah berbanding sambutan fasa pertama sebelum ini. Sambutan ini dianjurkan oleh Badan Kepimpinan Pelajar iaitu Pengawas sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya dan Pustakawan sekolah dengan kerjasama pelajar-pelajar Tingkatan 5 2012.
   Majlis tersebut dimulakan seawal 7.30 pagi. Semua pelajar diminta berkumpul di surau untuk bersama-sama membaca Surah Yaasin. Selepas itu, Ketua Umum SAM Rawang tahun 2012; Mohd Farid bin Yahaya memberi sedikit taklimat tentang tentatif program pada hari tersebut. Semua pelajar dan guru perempuan diminta bergerak ke dataran surau untuk bagi acara sukaneka bagi guru perempuan manakala semua pelajar dan guru lelaki diminta ke padang bagi acara sukaneka bagi guru lelaki.
   Selesai acara sukaneka, acara dewan dimulakan. Perarakan guru-guru masuk telah menghangatkan dewan. Sejurus selepas itu, pengacara majlis iaitu Nur Muhd Aiman bin Abu Sama dan Furqon bin Malik telah dijemput masuk diiringi dua maskot iaitu maskot Mickey Mouse dan Minnie Mouse. Dua maskot itu menceriakan lagi acara dewan.

   Bacaan doa oleh Ahmad Syahmi Amin Bukhari bagi memberkati majlis. Majlis diteruskan dengan persembahan multimedia, persembahan pelajar, cabutan bertuah dan akhir sekali penyampaian hadiah. Pada tahun ini, terdapat enam Anugerah Khas yang disediakan khas untuk guru-guru. Guru-guru tersebut telah dipilih oleh Pengetua SAM Rawang sendiri iaitu Puan Siti Romziah binti Madong. Enam Anugerah Khas tersebut ialah Guru Dedikasi ; Ustaz Ilias , Guru Prihatin ; Ustazah Sazlina , Guru Paling Lama Berkhidmat di SAMR ; Ustazah Rozana , Guru Harapan ; Ustazah Harlina , Guru Kreatif ; Ustazah Mustazzila , Guru Inovatif ; Ustazah Aishah Ibrahim.
   Tidak dilupakan, pada tahun ini buat pertama kalinya Ustaz Rizal sebagai Pengarah Program merencanakan slot khas bagi anak-anak guru yang bersekolah di SAM Rawang. Anak-anak guru diminta memberi bunga kepada ibu atau bapa mereka.
   Habis acara dewan, guru-guru dijemput ke khemah khas yang disediakan untuk jamuan guru. Guru-guru dilayan dengan istimewa oleh sebahagian pelajar yang bertugas untuk menjadi pelayan untuk guru-guru. Secara keseluruhannya, majlis sambutan Hari Guru fasa ke-2 disambut dengan lebih gembira dan meriah oleh semua warga SAM Rawang.


Hari Penyerahan Slip

Hari Penyerahan Slip Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012

Tarikh : 22 Jun 2012
Tempat : Kelas Pelajar
Masa : 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari

Ibu bapa dibenarkan membawa anak-anak pulang setelah mengambil slip tersebut.

Mukhayyam Arabi

   Mukhayyam Arabi merupakan aktiviti yang telah direncanakan oleh pihak sekolah kepada pelajar tingkatan lima. Tahun ini merupakan tahun kedua aktiviti ini dilaksanakan. Mukhayyam Arabi diadakan bertujuan untuk membiasakan para pelajar tingkatan lima menggunakan bahasa arab sebagai bahasa pertuturan harian mereka.
   Tarikh 25 hingga 27 Mei merupakan tarikh yang amat sesuai bagi melaksanakan program ini memandangkan pelajar lain sudah mula bercuti penggal pertama. Pelajar-pelajar tingkatan lima masing-masing telah dibahagikan mengikut kumpulan yang diketuai oleh seorang fasilitator yang berbahasa arab.
   Terdapat pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan bagi menjayakan mukhayyam ini antaranya bersukan, berjual beli dan lakonan. Semua pelajar tingkatan lima hendaklah melaksanakan aktiviti-aktiviti tersebut dengan berbahasa arab. Bermacam gelagat dan telatah yang dapat dilihat pada setiap pelajar. Masing-masing nyata menunjukkan reaksi yang baik kepada fasilitator walaupun menggunakan bahasa arab untuk bertutur.
   Hari terakhir mukhayyam merupakan hari kumpulan terbaik diumumkan. Kumpulan terbaik dipilih berdasarkan markah tertinggi serta menunjukkan komitmen terbaik semasa mukhayyam. Kumpulan yang bertuah tersebut adalah kumpulan Muluk yang diketuai oleh fasilitator yang bernama Ustaz Aghiles. Walaupun keletihan, semua pelajar tingkatan lima jelas gembira kerana dapat mengikuti mukhayyam tersebut.



16 Mei 2012

   Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh semua guru dan pelajar di serata negara. Tarikh tersebut dipilih khusus untuk para pelajar mengingati, mengenang serta menghargai jasa guru-guru mereka yang tanpa jemu memberi didikan yang sempurna dalam usaha membentuk pelajar menjadi insan berguna kelak.
   Turut tidak ketinggalan, warga SAM Rawang bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru dengan tema ; "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Majlis Sambutan Hari Guru pada tahun ini dimulakan dengan perarakan masuk guru-guru SAM Rawang ke Dewan Besar Umar Abdul Aziz diiringi oleh pelajar-pelajar tingkatan lima.
   Atas arahan Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin, semua sekolah perlu mendengar secara langsung ucapan daripada beliau yang boleh disaksikan melalui internet. Melalui cara sebegini, pelajar dan guru dapat melihat serta mendengar terus ucapan yang ingin disampaikan oleh beliau.
 Setelah itu, majlis diteruskan dengan persembahan guru. Guru-gur diminta naik ke pentas untuk mendendangkan lagu 'Guru Malaysia' dan lagu baru iaitu 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara'. Selesai persembahan guru, pelajar dihiburkan dengan persembahan wakil pelajar.
   Majlis berakhir sejurus selepas berakhirnya persembahan pelajar. Guru-guru dijemput untuk menjamu selera di kantin. Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Guru pada tahun ini menggembirakan hati semua guru dan pelajar.