Ahlan Wasahlan ! Selamat Datang ke Blog SEKOLAH AGAMA MENENGAH RAWANG. Terima Kasih atas kunjungan anda. Kunjungan anda amat bermakna buat kami :)
Pada 29 Mac 2012 , SAM Rawang sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen peringkat daerah Gombak. Empat buah sekolah yang telah layak memasuki separuh akhir ke peringkat daerah ini adalah Sekolah Agama Menengah Rawang , Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia , Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Buloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Klang.
Di peringkat separuh akhir , pembahas SAM Rawang telah menjadi lawan kepada pembahas SMK Sungai Buloh di Pusat Sumber SAM Rawang manakala pembahas SMK Gombak Setia berlawan bahas dengan pembahas SMK Hulu Klang di Dewan Besar Umar Abdul Aziz.
Alhamdulillah , pembahas SAM Rawang berjaya di separuh akhir seterusnya melayakkan diri mereka ke peringkat akhir. Pembahas SAM Rawang telah menjadi lawan kepada pembahas SMK Hulu Klang kerana mereka juga berjaya mengalahkan pembahas SMK Gombak Setia pada separuh akhir. Perbahasan peringkat akhir tersebut telah diadakan di Dewan Besar Umar Abdul Aziz.
Syukran lillah , pasukan pembahas SAM Rawang telah memperoleh kemenengan di peringkat akhir. Lebih membanggakan lagi , ini merupakan kemenangan di peringkat daerah kali ke-empat berturut-turut dalam masa empat tahun. Tambahan pula, salah seorang pembahas SAM Rawang, Ainul Nadhirah telah dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik di peringkat daerah pada tahun 2012.
Tahniah Buat Mereka !







SPM 2011

Tanggal 21 Mac 2012 merupakan tarikh yang amat ditunggu-tunggu oleh semua pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 kerana pada tarikh ini mereka bakal menerima keputusan yang menentukan ke mana hala tuju mereka selepas ini. Alhamdulillah , pada tahun ini SAM Rawang telah berjaya menambah peratus lulus dengan purata 100% lulus. Berikut merupakan foto-foto yang sempat dirakam semasa majlis  penyampaian keputusan dijalankan.
Pelajar Terbaik SPM 2011 SAM Rawang : 9 A


Pelajar yang memperoleh 8 A

Pelajar yang memperoleh 7 A



Tahniah diucapkan kepada mereka ! :)

Kemahiran Amal Islami 2012


Kemahiran Amal Islami atau nama singkatannya KAMIL telah bermula lagi. Seperti biasa, KAMIL merupakan aktiviti tahunan bagi semua sekolah agama untuk mencungkil bakat yang ada dalam diri setiap pelajar. Bermula di peringkat sekolah, diikuti dengan peringkat zon dan negeri.

Pada tahun ini, SAM Rawang telah memasang matlamat baru iaitu ingin menghantar wakil pelajar hingga ke peringkat kebangsaan dalam acara KAMIL, MTQ (Majlis Tadarus Al-Quran) dan MIPA (Majlis Ihtifal Institusi Pendidikan Agama).

Bermula pada 27 Februari 2012 sehingga 1 Mac 2012, acara KAMIL peringkat sekolah telah diadakan di SAM Rawang. Sepanjang minggu tersebut, pelajar yang terlibat dalam setiap acara mempersembahkan usaha yang terbaik bagi menambah mata firqah masing-masing.

Antara acara yang dipertandingkan ialah Debat Bahasa Melayu, Debat Bahasa Inggeris, Debat Bahasa Arab, Khat, Khutbah, Tajhiz Jenazah, Musamarah, Syarahan Bahasa Melayu, Syarahan Bahasa Inggeris, Syarahan Bahasa Arab, Forum, Tafsir, Hafazan, Rawi & Marhaban dan acara Nasyid.


 

Alhamdulillah, segala acara berjalan dengan lancar. Pelajar yang terbaik bagi setiap acara akan dipilih untuk menjadi wakil sekolah di peringkat zon akan datang.

Seminar Keibubapaan


Pada 24 Februari yang lalu, pihak Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Agama Menengah Rawang telah mengadakan Seminar Keibubapaan di Dewan Besar Umar Abdul Aziz. Seminar tersebut telah disampaikan oleh Raja Ismail bin Raja Shahadan atau lebih dikenali dengan nama Pak Engku. Seminar tersebut bertemakan 'Ibubapa Cemerlang Anak Gemilang'.

 Ibubapa pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 telah dijemput hadir bagi menjayakan seminar tersebut. Seminar bermula seawal jam 9.00 pagi. Ibubapa yang hadir diminta mendaftar di kaunter pendaftaran sebelum memasuki dewan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa pimpinan Ustaz Rizal bin Mokhter. Seterusnya, ucapan ringkas daripada pengetua SAM Rawang. Selesai ucapan pengetua, Pak Engku memulakan sesi seminar.

Ibubapa, guru dan pelajar tekun mendengar setiap bait perkataan yang diperkatakan oleh Pak Engku. Pak Engku turut menceritakan kisah hidup anak-anak angkatnya yang yatim piatu amat menyentuh hati para pendengar. Bukan itu sahaja, Pak Engku menggunakan persembahan multimedia semasa menyampaikan seminar bagi menarik minat pendengar.
Alhamdulillah, seminar tersebut berjalan dengan lancar. Semua yang hadir berpuas hati dengan apa yang disampaikan oleh Pak Engku.


MESYUARAT PIBG KALI KE-16 YANG BERSEJARAH

 Mesyuarat Agung PIBG ke-16 telah dilaksanakan dengan jayanya. Mesyuarat kali ini dirasmikan  oleh Encik Zairi bin Mat Lamin, Pegawai Operasi Kawasan (Selangor dan Negeri Sembilan), Bank Muamalat Malaysia Berhad. Beliau diiringi oleh pegawai-pegawai Bank Muamalat Berhad cawangan Rawang, Selangor.

        Kami mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Bank Muamalat Berhad kerana persetujuan pihak bank mengambil Sekolah Agama Menengah Rawang sebagai sekolah anak angkat mulai tahun ini.

     Pihak sekolah juga berbesar hati atas kesudian pihak Bank Muamalat Berhad untuk memberikan sumbangan bagi pembelian van sekolah sebanyak RM 10 000.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh Ribu Sahaja). Alhamdulllillah, sumbangan ini akan memudahkan urusan membeli sebuah van untuk kegunaan aktiviti sekolah seperti penghantaran pelajar ke klinik, penghantaran pelajar ke aktiviti ko-kurikulum, dan beberapa perkhidmatan lain yang berkaitan dengan urusan sekolah.
     Kami juga amat sukacita kerana persetujuan pihak bank menyokong dan membantu pihak Sekolah Agama Menengah Rawang membangunkan  modal insan cemerlang dalam akademik dan sahsiah pelajar serta program-program yang akan atau bakal dilaksanakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa.

     Semoga dengan adanya persetujuan ini antara pihak Bank Muamalat dan Sekolah Agama Menengah Rawang akan memudahkan sekolah mencapai visi sekolah (Sekolah Agama Menengah Rawang, SABK Unggul Penjana Generasi Cemerlang) dan Misi sekolah (Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti). Dan, semoga usaha murni semua pihak iaitu pihak Sekolah Agama Menengah Rawang, pihak Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan pihak Bank Muamalat Berhad ini akan dapat melahirkan individu pelajar yang Berilmu, Beramal dan Bertaqwa dari bumi Sekolah Agama Menengah Rawang yang tercinta ini.

      Mesyuarat PIBG ke-16, Sekolah Agama Menengah Rawang membariskan Ahli Jawatankuasa baru yang akan berkerjasama dan pasukan untuk menjana usaha dan tenaga memastikan pembangunan dan kecemerlangan SAMER yang lebih terancang.

     Pihak kami mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan  ahli jawatankuasa yang terdahulu dalam usaha-usaha yang telah diberikan kepada pihak sekolah. Semoga usaha-usaha itu mendapat ganjaran yang sebaiknya, insyaallah.

      Perjalanan mesyuarat lancar dengan pembubaran ahli jawatankuasa pembentangan minit mesyuarat, perbincangan hal-hal berbangkit, dan pembentangan kewangan. Diikuti dengan pembubaran ahli jawatankuasa PIBG sesi 2011 secara rasmi.
      Seterusnya dilaksanakan agenda perlantikan ahli jawatankuasa baru untuk sesi 2012. Keputusan mesyuarat bersetuju dengan perlantikan Tuan Haji Mohd Subki bin Abdul Hamid sebagai yang Yang Dipertua PIBG, diikuti  perlantikan Tn. Hj.Zamri bin Muhammad sebaik Naib Yang Dipertua PIBG. 
Setiausaha baru menggantikan Encik Zahari bin Samad, yang telah berpindah ke Perak disandang oleh Encik Abdul Jalil bin Hanafee. Bendahari lama dikekalkan iaitu Pn. Maziana Elyunie bt. Kori.

    Suatu hal yang menarik dalam mesyuarat kali ini ialah perlantikan ahli jawatankuasa PIBG tahun 2012 adalah atas dasar menawarkan diri. Proses perlantikan menjadi singkat dan mudah dengan sikap keterbukaan ahli jawatankuasa yang menawarkan diri daripada kalangan ibu bapa itu. Ahli-ahli jawatankuasa yang menawarkan diri tersebut adalah seperti berikut :
1.  Pn. Hjh. Zaidah Ramlah bt. Hj.Ahmad
2.  Pn. Hjh. Sofiyati bt. Hj. Sya'ban
3.  En. Muhammad Radi bin Abdul Rahman
4.  En. Mohd Hatta bin Ahmad Nawawi
5.  En. Mohd Zulkifli bin Abdul Rahman
6.  En. Mohd Nurulyakin bin Abdul Wahab

Nama-nama ahli jawatankuasa dalam kalangan guru seperti berikut:
1. En. Ilias bin Dollah
2. Pn. Nor Azizah bt. Mohd Yusop
3. Pn. Sharifah Zhafarina bt. Syed Zainal Karib
4. Hjh. Normawati bt. Daud
5. Pn. Nurashikin bt. Ishak 

Antara usul yang dipersetujui adalah:
  1. Pembelian sebuah van sekolah untuk kegunaan dan urusan pihak sekolah seperti penghantaran pelajar ke klinik, pengangkutan untuk pelajar menghadiri aktiviti kokurikulum dan semua urusan pengangkutan sekolah seperti lawatan sambil belajar, pengangkutan guru berkursus dan seumpamanya.  Mesyuarat memutuskan cara pembelian van tersebut adalah secara sumbangan. Satu akaun sumbangan akan diwujudkan untuk membolehkan sumbangan daripada pihak-pihak korporat, pihak ibu bapa, pihak guru dan orang perseorangan akan ditubuhkan untuk mengelakkan kekeliruan pengurusan kewangan PIBG dan kemudahan pihak sekolah.
  2. Mesyuarat juga bersetuju dengan kutipan RM100.00 bagi setiap anak yang berada di tingkatan 3, 4 dan 5; bagi tujuan program kecemerlangan akademik sekolah seperti seminar-seminar peperiksaan, kem-kem motivasi, kelas-kelas tambahan dan interversi dan juga aktiviti yang menjurus kepada peningkatan pencapaian pelajar.
  3. Satu akaun khas iaitu Akaun Jariah PIBG SAMER  yang berbeza dengan akaun sekarang dalam cadangan terdahulu akan dibuka untuk membolehkan sumbangan pihak-pihak lain dimasukkan dan dimanafaatkan sebaiknya. 
        Semoga dengan kerjasama semua pihak, Sekolah Agama Menengah Rawang ini akan mencapai pengikhtirafan Sekolah Berprestasi Tinggi dan terus gemilang dan terbilang, insyaallah....